Surah Al A’la (سورة الأعلى): Teks Arab / Rumi Dengan Kelebihannya

Artikel ini akan berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai inti pati Surah Al A’la (سورة الأعلى) yang sepatutnya anda perlu tahu.

Di sini juga disediakan audio bacaan surah ini dalam bentuk MP3 dan juga teks bacaannya dalam rumi untuk memudahkan pembacaan.

Pengenalan surah Al A’la

Surah Al A’la adalah surah yang berada di kedudukan lapan puluh tujuh di antara surah-surah lain dalam kitab Al-Quran.

Ia mengandungi 19 ayat dan tergolong dalam surah-surah Makkiyah iaitu surah yang diturunkan di Mekah. Untuk pengetahuan anda juga kedudukan surah ini berada di antara surah At-Thariq dan Al-Ghashiyah.

Surah ini dinamakan “Al-A’la” yang bermaksud Yang Paling Tinggi. Maknanya adalah Yang Paling Tinggi di atas segala sesuatu.

Ia adalah “Af’al Tafdhil” (bentuk kata yang menunjukkan paling) yang menunjukkan ketinggian Allah SWT dengan semua makna ketinggian.

Oleh kerana itu, Dia paling tinggi kedudukan Nya, paling berkuasa, dan paling tinggi zat Nya di atas segala sesuatu.

Disebutkan nama Nya Al-A’la di sini adalah untuk menerangkan hak Nya disucikan, yakni disucikan dari semua jenis kekurangan.

Pada awal surah ini terdapat perintah agar Nabi SAW dan umatnya mengakui kesucian nama Allah Yang Maha Tinggi dari segala sifat kekurangan.

Ringkasan surah

Sinopsis surah Al-Al’la adalah memberi peringatan kepada orang mukmin tentang kehidupan akhirat. Allah SWT meningatkan bahawa kehidupan akhirat lebih baik dan kekal berbanding dunia.

Tema utama surah ini merangkumi tiga perbahasan utama iaitu yang pertama penyucian dan pengagungan terhadap Allah SWT. Ia bagi mengetuk kesedaran manusia tentang keagungan Allah SWT sebagai pencipta.

Kedua, beban tugas dan peringatan. Ia bagi menegaskan hakikat risalahh Rasulullah SAW dan bahawa baginda diutus untuk memberikan petunjuk dan menyebarkan hidayah.

Ketiga, unsur utama kemenangan. Dengan penjelasan Al-Quran yang singkat dan padat, tetapi membawa kemenangan di dunia dan akhirat.

Di samping itu, dari sudut pembahagian ayat pula ia terbahagi kepada 3 bab. Dari ayat 1 hingga 5, bab ini menceritakan tentang sifat-sifat Allah SWT dan mengajak manusia untuk melihat kehebatan ciptaan Nya.

Dari ayat 6 hingga 10, ayat-ayat ini menyentuh berkenaan bukti-bukti kekuasaan Allah SWT. Antaranya, betapa hebatnya kuasa Allah SWT sehingga Rasulullah SAW dapat mengingati Al-Quran dan tidak lupa.

Dari ayat 11 hingga 10 pula, ia menceritakan tentang dua golongan manusia iaitu mereka yang rugi dan beruntung.

Antara isi kandungan dari surah Al-A’la adalah seperti yang berikut:

  • Perintah Allah untuk bertasbih dengan memyebut nama Nya.
  • Nabi Muhammad SAW tidak pernah sedikit pun lupa dengan ayat-ayat yang dibacanya.
  • Jalan-jalan yang dapat menjadikan seseorang meraih keberhasilan di dunia dan akhirat.
  • Penjelasan bahawa Allah menciptakan, menyempurnakan ciptaan Nya, menentukan kadar-kadar, memberi petunjuk dan melengkapi keperluan-keperluan untuk mencapai tujuannya.

Bacaan surah Al A’la

(1) سَبِّحِ ٱسۡمَ رَبِّكَ ٱلۡأَعۡلَى

Sabbihisma rabbikal a’laa

Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha tinggi (dari Segala sifat-sifat kekurangan)

(2) ٱلَّذِي خَلَقَ فَسَوَّىٰ

Allazee khalaqa fasawwaa

Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya Dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya

(3) وَٱلَّذِي قَدَّرَ فَهَدَىٰ

Wallazee qaddara fahadaa

Dan Yang telah mengatur (Keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaanNya)

(4) وَٱلَّذِيٓ أَخۡرَجَ ٱلۡمَرۡعَىٰ

Wallazeee akhrajal mar’aa

Dan Yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak

(5) فَجَعَلَهُۥ غُثَآءً أَحۡوَىٰ

Faja’alahoo ghusaaa’an ahwaa

Kemudian ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan Yang menghijau) itu kering - (berubah warnanya) kehitam-hitaman.

(6) سَنُقۡرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰٓ

Sanuqri’uka falaa tansaaa

Kami sentiasa menjadikan Engkau (Wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Qur'an Yang diturunkan kepadamu - Dengan perantaraan Jibril), sehingga Engkau (menghafaznya dan) tidak lupa

(7) إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُۚ إِنَّهُۥ يَعۡلَمُ ٱلۡجَهۡرَ وَمَا يَخۡفَىٰ

Illaa maa shaaa’al laah; innahoo ya’lamul jahra wa maa yakhfaa

Kecuali apa Yang dikehendaki Allah Engkau lupakan; Sesungguhnya ia mengetahui (segala keadaan Yang patut berlaku), dan Yang tersembunyi

(8) وَنُيَسِّرُكَ لِلۡيُسۡرَىٰ

Wa nu yassiruka lilyusraa

Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan Segala perkara) ugama Yang mudah diterima oleh akal Yang sihat

(9) فَذَكِّرۡ إِن نَّفَعَتِ ٱلذِّكۡرَىٰ

Fazakkir in nafa’atizzikraa

Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia Dengan ajaran Al-Qur'an), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna)

(10) سَيَذَّكَّرُ مَن يَخۡشَىٰ

Sa yazzakkaru maiyakhshaa

Kerana orang Yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu

(11) وَيَتَجَنَّبُهَا ٱلۡأَشۡقَى

Wa yatajannabuhal ashqaa

Dan (sebaliknya) orang Yang sangat celaka akan menjauhinya

(12) ٱلَّذِي يَصۡلَى ٱلنَّارَ ٱلۡكُبۡرَىٰ

Allazee yaslan Naaral kubraa

Dia lah orang Yang akan menderita bakaran neraka Yang amat besar (azab seksanya)

(13) ثُمَّ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحۡيَىٰ

Summa laa yamootu feehaa wa laa yahyaa

 Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang

(14) قَدۡ أَفۡلَحَ مَن تَزَكَّىٰ

Qad aflaha man tazakkaa

Sesungguhnya berjayalah orang Yang - setelah menerima peringatan itu - berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal Yang Soleh)

(15) وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ

Wa zakaras ma Rabbihee fasallaa

Dan menyebut-nyebut Dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk)

(16) بَلۡ تُؤۡثِرُونَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا

Bal tu’siroonal hayaatad dunyaa

(tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan Yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;

(17) وَٱلۡأٓخِرَةُ خَيۡرٞ وَأَبۡقَىٰٓ

Wal aakhiratu khairunw wa abqaa

Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

(18) إِنَّ هَٰذَا لَفِي ٱلصُّحُفِ ٱلۡأُولَىٰ

Inna haazaa lafis suhu fil oolaa

Sesungguhnya (keterangan-keterangan Yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di Dalam Kitab-kitab Yang terdahulu

(19) صُحُفِ إِبۡرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ

Suhufi ibraaheema wa moosaa

Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa

Kelebihan & manfaat Surah

Rasulullah SAW suka membaca surah ini sepertimana yang diceritakan oleh Saidina Ali RA dan diriwayatkan oleh Umam Ahmad.

Isteri Nabi SAW, iaitu Sayidina Aisyah RA juga menceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW membaca surah ini dalam solat sunat witirnya.

Semoga dengan panduan membaca surah Al A’la ini dapat menjadikan kita semua semakin sayang dan mencintai kitab Al-Quran serta menghayati setiap bait ayatnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. Al-Quran dan Terjemahan
  2. Tiga Keutamaan Surah Al-A’la; Pembacanya Dicintai Nabi Muhammad. Bincang Syariah
  3. Sinopsis Surah Al A’la. My Raudhah
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.