Sujud Sajadah: Panduan, Cara Bacaan, dan Kelebihannya
Apakah yang dimaksudkan dengan sujud sajadah, dan kaitannya dalam ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh kita?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai panduan mengerjakan sujud sajadah dengan lebih terperinci.
Apakah sujud sajadah
Sujud sajadah juga dikenali dengan nama panggilan seperti sujud tilawah. Sujud sini adalah sujud yang dilakukan apabila seseorang itu membaca ayat Sajadah dalam Al-Quran.
Ia dilaksanakan dengan tujuan sebagai simbolik rasa penghambaan kita terhadap Allah SWT atas kebesaran Nya.
Dalil pensyariatan sujud sajadah
Diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Abdullah Bin Umar RA bahawa beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَ سَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَ نَسْجُد
Maksudnya: “Pada satu ketika, Rasulullah SAW membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajdah, maka Baginda SAW pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.” – (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)
Dalam hadis yang lain pula, diriwayatkan daripada Zaid Ibn Thabit RA, bahawa beliau berkata:
قَرَأْتُ عَلَى النَبِيّ وَ النَجْم فَلَم يَسْجُد فِيهَا. وَ فِي رِوَايَةٍ : فَلَمْ يَسْجُدْ منَّا أَحَدٌ
Maksudnya: “Aku (Zaid Ibn Thabit RA) membacakan kepada Rasulullah SAW Surah al-Najm (yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya), dan Baginda SAW tidak sujud padanya. Dalam riwayat yang lain pula: Maka kami pun ikut tidak sujud juga.” – (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:554)
Hukum pelaksanaannya dalam Islam
Hukum melaksanakan sujud sajadah adalah sunat muakkad. Dalam kata lain, bagi sesiapa yang melakukan sujud ini, ia akan memperoleh pahala sunat, dan tiada ganjaran pahala atau dosa diberikan kepada mereka yang tidak melaksanakannya.
Namun begitu, kita perlu faham bahawa peringkat sunat muakkad adalah dalam kategori perkara sunat yang sangat digalakkan untuk dilakukan berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang tidak meninggalkannya.
Justeru itu, adalah sangat digalakkan untuk kita melakukannya jika tiada halangan.
Sungguhpun begitu, ketika dalam solat berjemaah misalnya, sebagai makmum kita mestilah mengikut segala pergerakan imam.
Sekiranya imam melakukan sujud sajadah dalam solatnya, maka makmum wajib untuk sujud juga. Begitu juga jika imam tidak melakukannya, maka makmum tidak perlu untuk sujud.
Senarai ayat dalam Al-Quran mengandungi tanda sajadah
Tanda simbol kubah masjid dalam mana-mana ayat Al-Quran menandakan kita disunatkan untuk sujud sajadah.
Dalam Al-Quran dikatakan terdapat 15 ayat yang mempunyai tanda yang disebutkan itu, iaitu:
- Surah Al-A’raaf, ayat 206
- Surah Ar-Ra’d, ayat 15
- Surah An-Nahl, ayat 50
- Surah Al-Isra’, ayat 109
- Surah Maryam, ayat 58
- Surah Al-Hajj, ayat 18
- Surah Al-Hajj, ayat 77
- Surah Al-Furqan, ayat 60
- Surah An-Naml, ayat 26
- Surah As-Sajdah, ayat 15
- Surah Saad, ayat 24
- Surah Fussilat, ayat 38
- Surah An-Najm, ayat 62
- Surah Al-Insyiqaq, ayat 21
- Surah Al-‘Alaq, ayat 19
Syarat sah sujud sajadah
Berikut ini merupakan syarat sah sujud sadajah:
- Suci daripada hadis kecil, dan hadas besar
- Menghadap kiblat
- Menutup aurat
Cara melakukannya
Terdapat dua keadaan sujud ini berlaku iaitu sama ada ketika solat atau di luar solat.
1. Ketika di dalam solat
Pertamanya solat seperti biasa. Namun apabila tiba pada ayat sajadah dalam Al-Quran maka teruslah sujud, dan membaca doa sujud sajadah.
Selesai membaca, berdiri semula dalam keadaan solat tanpa perlu mengangkat tangan. Teruskan dengan sambungan ayat Al-Quran yang dibaca tadi.
2. Ketika di luar solat
Situasi sujud sajadah berlaku di luar solat biasanya ketika seseorang itu sedang membaca Al-Quran. Apabila sampai sahaja pada ayat sajadah, maka angkatlah tangan sambil bertakbir dan terus sujud.
Baca doa sujud sajadah. Setelah selesai, bangun daripada sujud, duduk, dan berikan salam seperti dalam solat.
Bacaan sujud sajadah
Doa 1
Sajada wajhiya lillazi khalaqahu washawwarahu washaqqa sam’ahu wabasharahu bihawlihi waquwwatihi fatabaarakallahu ahsanul khaliqin
Maksudnya: “Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya serta mengurniakan pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta."
Doa 2
Allahumma laka sajad tu wabika amantu walaka aslamtu sajada wajhiya lillazi khalaqahu washawwarahu washaqqa sam’ahu wabasharahu tabaarakallahu ahsanul khaliqin
Maksudnya: “Ya Allah! Kepada Mu aku sujud, dengan Mu aku beriman, dan kerana Mu aku berserah. Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya serta mengurniakan pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta."
Kelebihan sujud sajadah
Selain mendapat ganjaran pahala, bagi sesiapa yang melaksanakan sujud ini juga dapat meningkatkan ketakwaan kita sebagai hamba Allah SWT.
Hadis dari Abu Hurairah RA katanya,
“Apabila anak cucu Adam telah membaca ayat sajadah, kemudian dia sujud. maka syaitan itu akan menjauhi sambil menangis, dan berkata, “Sungguh celaka, anak cucu Adam diperintah untuk sujud kemudian dia sujud, maka baginya adalah syurga. Dan aku pun diperintahkan untuk sujud, tetapi aku mengabaikannya, maka bagi ku adalah neraka.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Selain itu, kita juga akan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Hajj, ayat 7:
“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah kamu dan beribadatlah kepada Tuhan kamu serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).”
Diharapkan semoga artikel ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam beribadah setiap hari.
Sumber:
- Al-Kafi #1543: Membaca Ayat Sajadah Di Dalam Solat Dengan Tujuan Untuk Melakukan Sujud Tilawah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Al-Kafi #1890: Hukum Sengaja Tidak Sujud Tilawah Ketika Membaca Atau Mendengar Ayat Sajadah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Panduan Lengkap Sujud Tilawah. Al-Hidayah Publication