Doa Rabitah: Asal Usul, Terjemahan, dan Kelebihan Diamalkan
Selain doa atau wirid harian biasa, terdapat satu lagi jenis doa lain boleh kita amalkan setiap hari dalam kehidupan seharian iaitu Doa Rabitah.
Apakah yang dimaksudkan dengan doa tersebut, asal usulnya yang perlu kita ketahui dan kelebihan apabila diamakan?
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda mengenai Doa Rabitah dengan lebih menyeluruh untuk panduan yang sebenar.
Sejarah Doa Rabitah
Sebelum kita mendalami doa ini dengan lebih lanjut, marilah kita kenal terlebih dahulu pengertian dari maksud perkataan Rabitah itu sendiri.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Rabitah bermaksud perikatan atau dalam kata lain jalinan hati atau hubungan sesama manusia.
Doa Rabitah adalah sebahagian dari Al-Mathurat iaitu risalah himpunan zikir oleh Imam Hasan Al-Banna.
Doa ini sering dijadikan wirid yang dibaca oleh sesetengah Muslim pada waktu pagi dan petang, sama ada sebagai rangkaian wazhifah kubra atau sughra, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.
Tujuan doa ini dibaca adalah untuk mengeratkan jalinan hati sesama manusia.
Teks Doa Rabitah dalam Bahasa Arab
Teks Doa Rabitah dalam Bahasa Rumi
Allahumma innaka ta’lamu anna hadzihil qulub, qadijtama-at ‘alaa mahabbatik.
wal taqat ‘alaa tha’atik, wa tawahhadat ‘alaa da’watik
wa ta ‘ahadat ‘ala nashrati syari’atik
Fa watsiqillahumma rabithataha, wa adim wuddaha, wah dihaa subulahaa
wamla’haa binuurikal ladzi laa yakhbu
wasy-syrah shuduroha bi faidil imaanibik wa jamiilit tawakkuli ‘alaik
wa ahyiha bi ma’rifatik, wa amitha ‘alaa syahaadati fii sabiilik
Innaka ni’mal maula wa ni’man nashiir.
Terjemahan doa ini
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui hati kami. Kami telah berkumpul karena cinta Mu, dan berjumpa dalam ketaatan pada Mu, dan bersatu dalam dakwah Mu, dan berpadu dalam membela syariat Mu.
Maka Ya Allah, kuatkanlah ikatannya, kekalkanlah cintanya, tunjukkanlah jalannya, penuhilah ia dengan cahaya yang tiada redup, dan lapangkanlah dada-dada dengan iman yang berlimpah kepada Mu.
Serta indahnya takwa kepada Mu, dan hidupkan ia dengan ma’rifat Mu, dan matikan ia dalam syahid di jalan Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, kabulkanlah.”
Keutamaan mengamalkan Doa Rabitah
Seperti mana kita mengambil pendekatan untuk mengenali doa ini, ia tidak kalah hebatnya dengan kita mengetahui keutamaan ia diamalkan.
Doa Rabitah adalah salah satu doa yang sering dibaca, sehingga doa ini menyimpan banyak keutamaan, di antaranya adalah seperti:
- Doa Rabitah adalah doa yang dapat membantu seseorang dalam menyelesaikan pertikaian dengan saudara sendiri serta saudara sesama Muslim.
- Amalan untuk mempererat tali persaudaraan kerana dianggap mampu melembutkan hati seseorang.
- Doa ini dapat melembutkan hati seorang Muslim yang tadinya keras maka akan menjadi lunak, yang suram tidak bercahaya akan menjadi terang benderang.
- Rutin membaca Doa Rabitah akan meningkatkan simpati seseorang kepada makhluk Allah, sehingga lebih suka membantu dan mudah memaafkan.
- Dipercaya sebagai doa pengikat hati, bukan dalam maksud mencari jodoh apatah lagi dianggap sebagai doa mendapatkan jodoh, tetapi untuk menyambung rasa persaudaraan sesama Muslim dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Kelebihan mengamalkan Doa Rabitah
Terkaitannya antara doa ini dengan memperoleh kemanisan iman adalah kerana hubungan erat seorang manusia itu kepada Allah dan manusia lain.
Hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud:
“Terdapat tiga perkara yang barangsiapa mendapati tiga perkara ini dalam dirinya, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman (halawatul iman).
Pertama, menjadikan Allah dan Rasul paling disayangi dan dicintai berbanding dari keduanya. Kedua, menyayangi seseorang manusia kerana Allah SWT dan ketiga, membenci kekufuran sebagaimana membenci dirinya jika dimasukkan di dalam neraka.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Intipati penting dalam hidup bermasyarakat adalah bersatu padu. Tanpa sikap bersatu padu yang tinggi, kita tidak mampu bekerjasama dalam menjalankan peranan masing-masing untuk mencapai kejayaan.
Bak kata pepatah lama, “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”
Dalam apa jua yang kita lakukan di dunia ini, sekiranya kita hayati dengan saksama ia akan berbalik semula kepada kekuasaan Allah sebagai pentadbir alam semesta.
Begitu juga dalam halnya kemakmuran dalam ikatan kukuh antara manusia dengan manusia lain. Dalam surah al-Anfal ayat 63, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana”.
Doa ini menguatkan lagi tali ikatan ukhuwah sesama Muslim sungguhpun kita masing-masing tinggal berjauhan atau berasingan.
Selain itu, ia juga mampu untuk mengikat ukhuwah di antara ahli keluarga, suami isteri, anak-anak, dan ahli usrah.
Maka tidak hairanlah doa tersebut sering dikaitkan dengan doa pengikat kasih sayang oleh kebanyakkan orang yang mengamalkannya.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai Doa Rabitah ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan dalam hidup serta panduan bersama.
Sumber:
- Doa Rabitah ,Terjemahan dan Kelebihan Mengamalkannya. Blog Ammar
- Doa Rabitah Menguatkan Jiwa-Jiwa Persaudaraan & Mencapai Persepakatan. Kelab Mama