Aurat Lelaki Yang Digariskan Dalam Islam

Sebagai seorang muslimin yang patuh dan taat kepada agamanya tidak kiranlah sama ada lelaki mahupun wanita wajib keatas mereka untuk menjaga batasan aurat yang telah ditentukan oleh syarak.

Perkara ini termasuklah sama ada untuk melaksanakan aktiviti beriadah, berbasikal atau sebagainya wajib keatas seseorang itu untuk kelihatan dengan memakai pakaian yang  menutup seluruh auratnya dan longgar  daripada dilihat oleh bukan mahram. 

Artikel pada kali ini akan memberikan panduan secara ringkas (tetapi lengkap) mengenai batasan aurat lelaki dari segi pemakaian yang telah ditentukan dalam islam.

Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau bentuk badan adalah haram dan berdosa.

Maksud Aurat

Aurat adalah bersal daripada pekataan ” Aurah” yang bererti keaiban.

Manakala dalam istilah feqah pula aurat ini bermaksud sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi daripada pandangan.

Walaubagaimanapun, satu istilah dalam Syariah Islam “aurat” ini boleh disifatkan sebagai bahagian tubuh yang perlu ditutup dan tidak didedahkan kepada pandangan orang.

Jadinya disini, secara keseluruhannya aurat ini boleh membawa maksud kepada bahagia-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.

aurat lelaki

Apakah itu Aurat Lelaki?

Bagi seorang lelaki muslim, aurat yang wajib ditutup adalahbermulanya dari kawasan di antara pusat dan lutut.

Antara pemakaian yang digariskan dalam islam bagi aurat seorang lelaki itu adalah seperti:

  • Tidak terlalu nipis dan ketat hingga menampakkan bentuk tubuh badan.
  • Menutup aurat antara pusat ke lutut.
  • Pakaian tidak menyerupai perempuan.
  • Tidak memakai pakaian dan perhiasan daripada sutera dan emas.

Apakah batasan aurat lelaki?

Batasan aurat yang disepakati oleh ulamak adalah dua kemaluan iaitu depan (bahagian zakar) dan belakang (bahagian punggung). Wajib bagi seseorang lelaki muslim itu untuk menutup dua bahagian tersebut dari diperlihatkan kepada orang lain. Adapun yang selain dari itu, maka para ulamak berbeza pandangan;

Pandangan pertama; adalah bagi aurat lelaki ialah kawasan di antara pusat dan lutut. Jadi berdasarkan pandangan ini, paha adalah aurat dan wajib ditutup. Dalil mereka hadis dari Jarhad al-Aslami r.a. yang menceritakan; “Rasulullah duduk bersama kami sedang pahaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah berkata kepadaku;

أما علمت أنَّ الفخذ عورةٌ

“Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?”.
(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Malik)

Pandangan kedua; aurat lelaki hanyalah dua kemaluannya sahaja iaitu depan dan belakang. Paha tidaklah aurat. Mereka berdalilkan beberapa hadis antaranya hadis Anas r.a. yang menceritakan;

أن النبي صلى اللَّه عليه وسلم يوم خيبر حسر الإزار عن فخذه حتى إني لأنظر إلى بياض فخذه

“Pada hari peperangan Khaibar, terselak kain dari paha Nabi s.a.w. hingga aku dapat melihat putihnya paha baginda” (HR Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari).

Pandangan kedua ini adalah pandangan mazhab az-Zahiri dan sebahagian ulamak mazhab Maliki.

Menurut Imam al-Bukhari; hadis Anas di atas lebih kuat sanadnya, namun hadis Jarhad adalah lebih berhati-hati. Jadi sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat), lebih baik kita berpegang dengan pandangan jumhur kerana kita dapat lari dari khilaf dan keraguan. Sabda Nabi s.a.w.; “Tinggallah yang meragukan kamu untuk berpindah kepada apa yang tidak meragukan kamu” (HR Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)

Ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal had atau batas aurat lelaki ini;

1.Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali kepada isterinya. Selain dari itu isterinya pula diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya”.

Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali pada kemaluan kerana melihat kemaluan masing-maisng adalah MAKRUH.

2. Imam Malik dan Imam Syafi’ie berpendapat: “Aurat lelaki ada dua keadaan:

  • Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja.
  • Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya. Auratnya adalah seluruh tubuh badannya.

Soal Jawab Mengenai Aurat Lelaki.

Adakah pusat dan lutut termasuk aurat dan wajib ditutup?

Menurut Pandangan Jumhur ulamak mengenai anggota pusat dan lutut termasuk dalam kategori aurat yang wajib ditutup ataupun tidak adalah boleh ia boleh dilihat berdasarkan Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad yang mana ia menjelaskan bahawa; pusat dan lutut tidaklah aurat, namun wajib ditutup sebahagian darinya untuk menyempurnakan penutupan kawasan aurat di atas (yakni kawasan antara pusat dan lutut) kerana sesuatu yang tidak sempurna yang wajib kecuali dengannya maka ia turut menjadi wajib. Maksud wajib ditutup sebahagiannya ialah; menutup sebahagian pusat sebelah bawah dan sebahagian lutut sebelah atas

Adakah Peha Lelaki Termasuk dalam batasan aurat?

Menurut Mazhab Hanafi yang beranggapan bahawa apa yang di antara pusat dan lutut sebagai daerah aurat. Mereka menganggap bahawa lutut itu merupakan anggota bahagian aurat sedangkan pusat tidak. Manakala menurut mazhab Syafie dan Hanbali menjelaskan bahawa anggota yang terdapat antara pusat dan lutut itu adalah aurat dan pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat. Adapun perkara yang sedemikian, menurut mazhab Maliki, Zahiri dan satu yang mana pandangan daripada Imam Ahmad menyatakan bahawa peha itu bukanlah aurat. Namun perkara ini merupakan satu perkara yang wajib ditutup melalui kaedah yang diguna pakai “Jika suatu perkara yang wajib tidak sempurna melainkan dengan perkara yang lain, maka perkara yang lain itu turut menjadi wajib”.

Apakah batasan aurat lelaki di dalam solat?

Batasan aurat lelaki di dalam solat sama seperti di luar solat iaitu antara pusat dan lutut mengikut pandangan jumhur ulamak. Menutup aurat di dalam solat adalah wajib dengan ijmak ulamak. Tidak harus seseorang mengerjakan solat dalam keadaan telanjang sedangkan ia mempunyai pakaian untuk menutup aurat dan solatnya adalah batal.

Penutup

Menutup aurat adalah merupakan satu kewajipan yang harus dilaksanakan dalam islam. Dengan menutup aurat kita apat menjaga dan membezakan perwatakan kita dengan kaum lain. Menutup aurat juga itu adalah didasari dengan iman dan taqwa seseorang bagi mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian.

Sebagai seorang mukmin iaitu orang yang mengaku sentiasa beriman kepada Allah Yang Maha Esa, kita harus sentiasa menjaga batas-batas aurat tidak kiralah sama ada lelaki mahupun wanita.

Sumber:

  1. Al-Kafi #135: Adakah Peha Lelaki Termasuk Dalam Daerah Aurat?. Mufti Wilayah Persekutuan.
  2. Batas-batas Aurat Dalam Islam. abuanasmadani.com
  3. Aurat Lelaki Hingga Bawah Lutut, Pahami Dalilnya. assajidin.com
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.