Kelebihan Amalkan Surah 3 Qul Dalam Kehidupan

Apakah kelebihan yang ada pada surah-surah lazim yang sering kita baca seperti surah 3 qul?

Artikel pada kali ini kita akan berkongsi kepada anda mengenai kelebihan apabila mengamalkan surah dari 3 qul ini.

Apa itu surah 3 qul?

Surah 3 qul adalah surah yang terdiri dari tiga surah iaitu surah Al-Ikhlas (tauhid), surah An-Nas (manusia), dan surah Al-Falaq (waktu subuh).

Kesemua surah ini bermula dengan awalan “qul” dan inilah yang menjadi alasan mengapa ia dipanggil 3 qul.

Surah Al-Ikhlas

Surah Al-Ikhlas adalah surah yang ke 112 dalam Al Quran dan mengandungi empat ayat sahaja.

Dalam surah ini ada diterangkan berkenaan Rasulullah SAW diperintahkan untuk menegaskan kepada umum bahawa Allah SWT Maha Esa dan tiada sebarang bandingan Nya. 

3 qul

Qul Huwallahu Ahad (1) Allahussomad (2) Lam Yalid Walam Yuulad (3) Walam Yakullahu Kufuwan Ahad (4)

Katakanlah: Dia Allah Yang Maha Esa (1) Allah Adalah Tuhan Yang Bergantung Kepadanya Segala Sesuatu  (2) Dia Tidak Beranak dan Tidak Diperanakkan (3) Dan Tidak Ada Seorangpun Yang Setara Dengan Dia (4)

Kelebihan Surah Al-Ikhlas

Mengamalkan baca surah Al-Ikhlas sebelum tidur adalah sama seperti kita membaca 1/3 dari isi kandungan Al-Quran.

Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca ‘Qul hu wallah hu A’had’ dengan mengulang-ulangnya, maka tatkala pagi harinya, dia mendatangi Rasulullah dan menceritakan hal itu kepadanya dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah al-ikhlas, maka Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud : Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga al-Quran.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, An-Nasaie)


Surah Al-Iklas boleh menjadi penyembuh atau pelindung kepada diri seseorang. Ia mampu mempertahankan diri kita dari bahaya, malapetaka, dan menghancurkan sihir.

Hal ini kerana itulah ia digelar sebagai Mu’awwizah yang bermaksud penyembuh atau pelindung.


Surah Al-Iklas boleh menyelamatkan seseorang daripada menjadi orang yang kufur di dunia dan mengelakkan daripada diazab di akhirat kerana itu ia diberikan gelaran sebagai Al-Mani’ah

Surah Al-Falaq

Surah Al Falaq adalah surah yang ke 113 dan mengandungi lima ayat. 

Surah ini menjelaskan tentang kepentingan memohon perlindungan dari Allah Yang Maha Kuasa terhadap kejahatan makhluk-makhluk Tuhan dan juga perbuatan sihir, khianat, hasad dengki dan sebagainya. 

3 qul

Qul A’uuzu Birobbil Falaq (1) Min Syarrimaa Kholaq (2) Wa Min Syarri Ghoosiqin Izaa Waqob (3) Wa Min Syarrin Naffaatha Tifil ‘Uqod (4) Wa Min Syarrihaa Sidin Izaa Hasad (5)

Katakanlah: Aku Berlindung Kepada Tuhan Yang Menguasai Subuh (1) Daripada Kejahatan MakhlukNya (2) Dan Daripada Kejahatan Malam Apabila Telah Gelap Gelita (3) Dan Daripada Kejahatan Wanita-Wanita Tukang Sihir Yang Menghembus Pada Buhul-Buhul (4) Dan Daripada Kejahatan Orang Yang Dengki Apabila Dia Dengki (5)

Kelebihan Surah Al-Falaq

Nabi Muhammad SAW, bersabda: “Apakah engkau tidak melihat ayat-ayat yang diturunkan malam ini yang belum pernah ada bandingannya. Ayat-ayat itu ialah ‘Qul A’uzdu Birabbil Falaq’ (Al-Falaq) dan ‘Qul A’udzu Birabbin Naas’ (An-Nas).”  – (Hadis Riwayat Muslim).


Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah ‘Qul A’uzdu Birabbil Falaq’ (Al-Falaq) kerana kamu tidak dapat membaca mana-mana surah yang amat dicintai Allah SWT dan sangat cepat diterima Allah SWT, seperti surah ini. Maka semana mampu kamu janganlah kamu tinggalkannya.”


Surah Al-Ikhlas boleh menjadi perlindung sihir seperti mana yang pernah dikisahkan oleh seorang lelaki Yahudi.

Yang mana menunjukkan bahawa kelebihan Surah Al-Falaq ada bila mana kita mahu meminta perlindungan dari perkara luaran seperti sihir. 

Surah An-Nas

Surah An-Nas adalah surah yang ke 114 di dalam Al Quran dan mengandungi enam ayat. Intipati penting dalam surah ini adalah kepentingan memohon perlindungan dari Allah terhadap bahaya-bahaya yang batin.

Contohnya seperti bahaya dari syaitan atau jin, tipu daya makhluk, perasaan atau ingatan buruk yang boleh merosakkan akidah, amal ibadat dan cara hidup kita. 

3 qul

Qul A’uuzu Birobbinnaas (1) Malikinnaas (2) Ilaahinnaas (3) Min Syarril Waswaasil Khonnaas (4) Allazii Yuwas Wisufii Suduu Rinnaas (5) Minal Jinnati Wannaas (6)

Katakanlah: Aku Berlidung Kepada Tuhan Manusia (1) Raja Manusia (2) Sembahan Manusia (3) Daripada Kejahatan (Bisikan Syaitan) Yang Apabila Bersembunyi (4) Yang Membisikkan (Kejahatan) Ke Dalam Dada Manusia (5) Daripada Jin dan Manusia (6)

Kelebihan Surah An-Nas

Surah An-Nas adalah surah Al-Mu’awwidzataini yang mengandungi ayat-ayat yang menyuruh memohon perlindungan kepada Allah SWT.

Surah ini mengajar kita perlunya manusia kepada Allah sebagai pelindung mutlak daripada kejahatan syaitan durjana. Iaitu ia menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin.

Cara Membaca Ayat 3 Qul Sebelum Tidur

Surah 3 qul ini sangat lazim dikaitkan dengan amalan sebelum tidur. Daripada Aisyah RA katanya:

“Nabi SAW apabila ke tempat hamparan tidur setiap malam baginda menatadah kedua tangannya kemudian menghambus kedua tapak tangan lalu membaca surah Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Nas kemudian baginda menyapu ke bahagian badan yang dapat dicapai oleh kedua tangan, baginda memulakannya dari kepala, muka, dan bahagian badan yang dapat dicapai. Baginda melakukan seperti demikian sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Membaca surah 3 qul sebelum tidur bagus untuk memastikan seseorang itu boleh tidur dalam keadaan tenang tanpa sebarang bentuk gangguan terutamanya gangguan syaitan dan jin.

Berikut ini adalah cara-cara untuk membaca dan mengamalkan surah 3 qul sebelum tidur:

  1. Ketika kita berada di tempat tidur, seeloknya dalam keadaan duduk, sambil menadah kedua tangan, kemudian baca dengan turutan bacaan 3 Qul bermula dari surah Al-Ikhlas, Al Falaq dan An-Nas sehingga habis.
  2. Selepas membaca ketiga-tiga surah tersebut, hembuskan pada tapak tangan dan sapu pada muka dan seluruh badan, tangan dan kaki. Ulang perbuatan tersebut sebanyak tiga kali.
  3. Jika mempunyai anak-anak yang masih kecil, bacakan surah 3 Qul tersebut. Lalu hembuskan pada tapak tangan dan kemudian sapukan pada seluruh badan anak.

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai kelebihan mengamalkan surah 3 qul ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. Jadikan Amalan Bacaan Surah 3 Qul Sebelum Tidur Dan Kelebihannya. Wani Sukarno
  2. The Ultimate Benefits of Surah Ikhlas. Power Ahadit
  3. Tafsir Al-Munir, Juz 30, Dr. Wahbah Al-Zuhaily (Terjemahan). Penerbit: Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia And Publication, Selangor, 2001.
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.